BORUSSIA DORTMUND 3 BAYERN MUNICH 2

Pengendali Bayern Munich, Niko Kovac, berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan pasukannya sungguhpun tewas 2-3 kepada pendahulu Bundesliga, Barussia Dotmund, awal pagi tadi.


Robert Lewandowski dua kali meletakkan pelawat di depan, namun kapten Dortmund, Marco Reus, menafikan kedua-dua pendahuluan tersebut.

Paco Alcacer yang masuk sebagai pemain gantian menjaringkan gol dramatik buat skuad kendalian Lucian Favre itu selepas menerima hantaran terus Axel Witsel sebelum menghasilkan penyudah menakjubkan menewaskan Manuel Neuer.

Dortmund kini memiliki kelebihan tujuh mata ke atas Bayern yang menelan hakikat rekod enam perlawanan tanpa tewas mereka musnah di Signal Iduna Park.

Di sebalik terlepas peluang meraih kemenangan, Kovac menolak untuk melontarkan kritikan terhadap barisan pemainnya.

"Kami dapat menyaksikan perlawanan yang menarik daripada kedua-dua pasukan.

"Ia satu perlawanan yang terbuka," kata Kovac dalam laman web rasmi pasukan.

"Kami menguasai keseluruhan separuh masa pertama dan dalam babak kedua, ia milik Dortmund.

"Selepas terikat 1-1, kami kembali berada di depan, namun kami bolos dua kali selepas itu yang tidak sepatutnya berlaku.

"Kami menguasai bahagian tengah dalam separuh masa pertama walaupun tidak dapat melakukannya dalam babak kedua.

"Malangnya, kami tewas walaupun perlawanan sepatutnya berakhir dengan keputusan seri.

"Ia perlawanan terbaik kami, terutama dalam babak pertama.

"Kami perlu memperbaikinya dalam perlawanan-perlawanan yang akan datang," tambahnya.

Favre memuji kebangkitan dipamerkan Dortmund, namun mengakui nasib menyebelahi pasukannya.

"Ia perlawanan yang gila. Bayern amat kuat.

"Mereka jelas mendominasi perlawanan dan kami tidak dapat memegang bola.

"Ia amat sukar buat kami, namun saya yakin kami dapat melakukan sesuatu.

"Selepas Reus menjaringkan gol kedua, keadaan sudah bertukar.

"Kami berjaya melakukannya dan ia kemenangan moral yang besar," katanya.