Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, mendedahkan punca beliau merehatkan Vincent Kompany pada babak pertama pusingan keempat Piala Liga Inggeris (EFL) ketika tewas kepada Manchester United kerana pertahanan itu tidak dapat meneruskan permainan lagi.

Ketua pasukan itu kembali dalam kesebelasan utama City pada Ahad lalu selepas menderita kecederaan panjang, namun terpaksa mengehadkan aksi pada penampilan keduanya.

Pemain kebangsaan Belgium itu telah berjanji kepada kakitangan perubatan pasukan itu untuk berterus-terang mengenai tahap fizikalnya bagi mengelak ditimpa kecederaan lagi.

Selepas seri 1-1 ketika menentang Southampton tempoh hari, dia meminta untuk dikeluarkan dalam kekalahan 1-0 kepada United, awal pagi tadi.

"Dia beritahu saya bahawa dia tidak dapat meneruskan permainan lagi," kata Guardiola yang menyaksikan Juan Mata menjaringkan gol kemenangan sejurus Kompany digantikan dengan Aleksandar Kolarov.

City kini mengharungi enam perlawanan tanpa kemenangan -- tempoh paling lama diharungi Guardiola dalam kariernya sebagai jurulatih -- namun, bekas jurulatih Barcelona dan Bayern Munich itu tidak kesal dengan keputusannya membuat sembilan pertukaran dalam barisan utamanya dalam perlawanan menentang United.

"Saya sangat bangga dengan persembahan kami," tambahnya. "Saya sangat bangga dengan corak permainan pemain muda dan pemain-pemain lain.

"Tahniah buat United kerana berjaya mara.

"Kami memiliki dua atau tiga peluang tapi gagal mencipta hantaran terakhir, namun saya sangat bangga.

"Saya mahu cuba untuk menang. Tapi inilah pertandingan. Musim depan kami akan cuba lagi (dalam Piala EFL). Sekarang kami perlu fokus terhadap kejohanan seterusnya."

City gagal membuat sebarang cubaan tepat ke arah pintu gol sepanjang perlawanan menentang United.