Pertahanan Belgium, Vincent Kompany, berpendapat pasukannya tidak mampu menyaingi kehebatan individu dalam kem Brazil menjelang aksi suku akhir, awal pagi Sabtu ini.

Tatkala Brazil menewaskan Mexico dengan penuh bergaya dalam pusingan kedua, skuad kendalian Roberto Martinez itu terpaksa mengharapkan jaringan minit terakhir oleh Nacer Chadli untuk mengatasi Jepun bagi melangkah ke peringkat seterusnya.

Selepas meraih kemenangan dramatik, Isnin lalu, Martinez melaungkan keyakinan bahawa pasukannya tidak gentar untuk berdepan Brazil sambil menyifatkan pasukannya sebagai bukan pilihan dalam pertemuan itu.

Pendapat itu turut dipersetujui Kompany yang melakukan penampilan pertama dalam kesebelasan utama ketika berdepan Jepun selepas mengalami kecederaan sebelum ini.

"Secara individu, Brazil adalah pasukan paling kuat dalam Piala Dunia 2018," katanya.

"Ini adalah satu pujian tetapi ia tidak menggugat peluang kami terhadap mereka. Tiada seorang pun daripada kami yang tidur pada waktu malam sambil menganggap kami telah ditundukkan Brazil.

"Mereka kukuh bertahan, memenangi semua perebutan pertahanan serta serangan dan tidak gentar dalam situasi satu lawan satu. Mereka sentiasa mempunyai kunci untuk membuka segala keadaan.

"Kami akan menghadapi mereka tetapi jika kami membiarkan ia berlangsung secara individu, kami akan tewas.

"Sudah tentu kami tidak berpeluang jika beraksi secara individu tetapi jika bergerak secara berpasukan, berjuang bersama-sama, Belgium mampu melakukannya."

Di bawah kendalian Martinez, Belgium dilihat menerapkan konsep kawalan permainan, yang menyaksikan bekas pengendali Everton itu lebih gemar menggunakan formasi 3-4-3 untuk mendapatkan prestasi terbaik The Red Devils.

Kompany mengakui bahawa barisan pertahanan yang goyah telah memberikan pasukannya masalah ketika bertemu Jepun tetapi barisan pemain Belgium mempercayai sepenuhnya pendekatan pengendali dari Sepanyol itu.

"Kami telah mempamerkan gaya bola sepak yang menarik, menjaringkan banyak gol dan menunjukkan kemampuan kami.

"Belgium meningkat secara konsisten. Kami hanya perlu meningkatkannya berdepan Brazil. Saya harap kami mampu."