Kogileswaran enggan tercicir lagi

Oleh Penulis Jemputan 10 Disember 2017 3729
Kogileswaran enggan tercicir lagi
Penyerang skuad bola sepak B-23 tahun negara, R. Kogileswaran, tidak rela terpinggir daripada senarai akhir 23 pemain ke Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China ketika dia berada dalam landasan terbaik untuk menyarung jersi negara buat kali pertama.

Ketika pemilihan ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Kogileswaran terpaksa akur dengan kecederaan yang dialami, sekaligus diketepikan daripada senarai akhir mewakili negara.

Bebas daripada kecederaan kini, dia enggan episod sama berulang kembali dan tiada alasan untuknya gagal bersaing merebut slot penting untuk saingan kali ini.

Tegas Kogileswaran, dia telah menunggu sekian lama untuk terpilih dan melepasi kriteria jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, jadi dia  akan menggunakan peluang yang ada dengan sebaik mungkin.

“Banyak penyerang yang dipanggil untuk dipilih beraksi di China. Saya mahu memberikan yang terbaik dan tidak mahu ketinggalan beraksi bersama skuad B-23 tahun,” katanya.

Dalam aksi persahabatan bertemu PJ Rangers semalam, Kogileswaran menyumbang tiga gol sementara mengumpan satu hantaran yang turut membawa kepada jaringan buat skuad negara.

Gembira dengan prestasi semasanya, namun itu masih belum cukup buat Kogileswaran.

“Saya hanya beraksi pada baki 25 minit perlawanan. Sasaran saya adalah mencetak gol dan berjaya menghasilkan hatrik,” katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen