Ronald Koeman berharap Lionel Messi dapat menghindari masalah disiplin untuk sepanjang musim ini memandangkan bintang Barcelona itu diancam penggantungan.

Kelab Catalunya melakar 17 rentetan perlawanan tanpa kalah dalam LaLiga sekali gus menghidupkan peluang kejuaraan mereka apabila merapatkan jurang dengan pendahulu yang semakin goyah, Atletico Madrid, kepada empat mata.

Namun, hanya satu kad kuning lagi memisahkan Messi dengan penggantungan satu perlawanan dan dia kini sudah mengumpul empat kad kuning, manakala pertembungan El Clasico menentang Real Madrid pada 10 April depan meningkatkan kemungkinan itu.

Koeman amat berharap Messi dapat mengelak layangan kad kuning seterusnya, tetapi pengurus itu tidak mahu memikirkan terlalu panjang sekiranya tonggak Argentina tersebut terlepas perlawanan pada masa akan datang.

Frenkie de Jong turut berada di posisi yang tidak menentu dan Koeman berkata: "Kami sedar dengan satu kad kuning lagi mereka akan digantung. Itulah hakikatnya.

"Saya tidak akan menyimpan sesiapa pun. Saya harap mereka tidak mengutip kad kuning lagi. Sekiranya mereka menerimanya maka pemain lain akan diturunkan."

Messi melepasi angka 20 gol LaLiga untuk musim ke-13 berturut-turut, satu-satunya pemain yang melakukannya dalam sejarah pertandingan itu dan sentuhan dia kelihatan hampir pasti akan dipertaruhkan ketika menentang Real Sociedad, awal pagi esok.

Ia akan menjadi penampilan ke-768 ketua pasukan itu bersama Barcelona ​selepas menyamai pencapaian Xavi ketika meledak dua gol dalam kemenangan 4-1 ke atas Huesca, awal minggu ini.



Barcelona sudah menempah tiket final Copa del Rey bertemu Athletic Bilbao selain masih mampu mencabar gelaran liga, sehubungan itu prospek merebut trofi turut dibangkitkan.

Musim pertama Koeman sebagai pengurus sering bergolak tetapi kempen mereka masih mampu berakhir dengan dua gelaran domestik.

Pengendali dari Belanda itu, bagaimanapun, tidak berminat bercakap soal kejuaraan dengan mengatakan: "Saya tidak gemar bercakap tentang kejuaraan berganda.

"I boleh berubah dengan sekelip mata. Tidak lama dahulu kami beraksi buruk. Kami cuma perlu fokus satu persatu perlawanan. Kami kini ketinggalan empat mata tetapi jadual yang kami bakal tempuhi adalah sangat sukar.

"Kami akan ke final menentang lawan yang sangat sukar. Masih ada jalan yang panjang untuk memenangi kejuaraan."

Koeman turut memberi amaran mengenai ancaman yang mereka hadapi dengan mengatakan bahawa "setiap kekalahan itu merupakan satu harga yang amat mahal" sambil memuji Real Sociedad dan pengurus mereka, Imanol Alguacil.

Seorang pemain yang tidak dapat dipertaruhkan Koeman baru-baru ini adalah penyerang muda, Ansu Fati, yang perlu diketepikan akibat kecederaan lutut sejak November.

"Kami tidak perlu terburu-buru, dia masih muda."