Klopp lebih bersedia untuk tugas di Bayern, kata Metzelder

Oleh Penulis Jemputan 4 Oktober 2017 1796
Klopp lebih bersedia untuk tugas di Bayern, kata Metzelder
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, merupakan calon yang lebih bersedia untuk tugas bersama Bayern Munich, menurut bekas pemain antarabangsa Jerman, Christoph Metzelder.

Carlo Ancelotti dipecat sebagai jurulatih Bayern minggu lalu berikutan permulaan lemah pada musim ini sehingga berakhir dengan kekalahan 3-0 di tangan Paris Saint-Germain (PSG) dalam Liga Juara-Juara.

Willy Sagnol mengambil alih tugas secara sementara manakala bekas jurulatih Borussia Dortmund, Thomas Tuchel, dan jurulatih Hoffenheim, Julian Nagelsmann, adalah antara calon yang akan mengendalikan kelab itu secara tetap.

Tetapi bekas pemain pertahanan Real Madrid dan Borussia Dortmund, Metzelder, menyokong Klopp, yang membimbing Dortmund meraih dua gelaran Bundesliga ketika berada di Signal Iduna Park, untuk mengambil tugas itu.

"Dia seorang pengurus terbaik dan boleh membuat kerjasama yang kompleks berfungsi hebat," katanya kepada Sky Sport Deutschland.

"(Julian) Nagelsmann adalah jurulatih yang cemerlang tetapi sudah tentu saiz Bayern berbeza (dengan Hoffenheim). Daripada pandangan saya, Klopp lebih bersedia," katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen