Jurgen Klinsmann akan bertindak sebagai pengurus Hertha Berlin sehingga akhir musim ini selepas pasukan Bundesliga itu berpisah dengan Ante Covic.

Kelab ibu kota itu mengumumkan perubahan berkenaan ekoran kekalahan 0-4 kepada Augsburg yang menyebabkan mereka tergelincir ke zon penyingkiran.

Klinsmann memiliki pengalaman Bundesliga bersama Bayern Munich, namun tidak memegang sebarang jawatan pengurus sejak tiga tahun lalu.

Bekas pengurus Jerman itu, seorang penggempur handalan sebagai pemain, dipecat oleh Amerika Syarikat (AS) pada November 2016 selepas gagal meraih tempat dalam Piala Dunia 2018.

Karier bekas pemain Hertha, Covic, yang sebelum ini mengemudi pasukan B-23, pula hanya bertahan dalam 15 perlawanan selepas mengambil alih jawatan berkenaan ekoran pengunduran Pal Dardai akhir musim lalu.

"Cara kami bermain baru-baru ini, termasuk keputusan yang diraih, telah membawa kepada keputusan ini," kata Covic dalam satu kenyataan.

"Memandangkan Hertha bukan sekadar majikan saya, keputusan seperti ini sesuatu yang menyakitkan, tetapi saya selalu mengatakan bahawa kelab ini adalah lebih penting daripada individu. Saya bukan sekadar sayangkan karier ini, malah mencintai kelab ini dengan sepenuh hati. "

Perlawanan pertama Klinsmann sebagai pengurus adalah dengan Borussia Dortmund di laman sendiri Sabtu ini.