Karier Jurgen Klinsmann sebagai jurulatih Amerika Syarikat (AS) selama lima tahun berakhir apabila beliau dipecat selepas dua kekalahan memalukan.

Badan induk bola sepak AS mengumumkan telah memecat Klinsmann sebagai jurulatih dan pengarah teknikal pasukan kebangsaan selepas dimalukan dengan kekalahan 4-0 kepada Costa Rica dalam saingan kelayakan Piala Dunia zon CONCACAF, minggu lalu.

Keputusan kekalahan itu adalah yang terburuk buat AS dalam kempen kelayakan Piala Dunia sejak 1957, yang menyaksikan AS terperosok di dasar kumpulan kelayakan Piala Dunia ekoran kekalahan 2-1 kepada Mexico, empat hari sebelum itu.

Klinsmann mencatatkan rekod 55 kemenangan, 27 seri dan 16 kekalahan sepanjang mengemudi pasukan itu, termasuk rentetan kemenangan paling panjang dalam sejarah AS dengan 12 perlawanan berturut-turut pada 2013.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Jurgen di atas kerja keras dan komitmennya sepanjang lima tahun ini," ujar Presiden Bola Sepak AS, Sunil Gulati.

"Beliau bertanggungjawab dalam menjayakan program ini, ia dianggap sebagai satu kejayaan."

AS masih lagi mempunyai baki lapan perlawanan dalam kempen kelayakan Piala Dunia dan untuk itu, Gulati percaya mereka masih mempunyai peluang untuk bangkit.

"Kami tetap yakin kerana kami mempunyai pemain berkualiti yang boleh membantu kami layak ke Russia 2018. Perkembangan pasukan ini meyakinkan kami untuk melakukan pembaharuan," katanya.

"Perlawanan seterusnya adalah pada Mac nanti. Kami mempunyai beberapa bulan lagi untuk kembali fokus dan mencapai keputusan untuk memastikan kami layak ke pusingan akhir Piala Dunia buat kali kelapan berturut-turut."

Pasukan itu masih belum memutuskan pengganti Klinsmann, namun jurulatih Los Angeles Galaxy, Bruce Arena, yang pernah mengendalikan skuad itu dalam Piala Dunia 2002 dan 2006, disebut-sebut sebagai pilihan untuk menyandang jawatan itu.