Pertahanan Jerman, Joshua Kimmich, yakin rakan sepasukannya, Timo Werner, akan memberikan sumbangan besar buat juara bertahan Piala Dunia itu menjelang aksi berdepan Mexico, malam esok.

Werner menggantikan tempat Mario Gomez selaku penggempur utama Jerman dan Kimmich, yang mengenali penyerang itu sejak berusia 13 tahun, percaya bahawa dia memiliki kemampuan untuk membalas kepercayaan yang diberikan pengendali, Joachim Low.

"Saya rasa persembahan yang dipamerkan ketika Piala Konfederasi tahun lalu dan aksi seterusnya telah membuktikan kemampuan Werner," kata Kimmich.

"Berbekalkan kepantasan yang dimiliki, dia menjadi senjata kami. Saya mengenalinya sejak berumur 13 tahun sewaktu kami sama-sama berada dalam skuad belia Stuttgart.

"Bagi saya, dia adalah pemain yang penting buat Jerman dan saya telah memberitahunya bahawa dia mampu bergelar penjaring terbanyak kejohanan.

"Ketika ini, dia sangat tenang dan kita akan tahu apa yang mampu dilakukannya dalam perlawanan pertama nanti," ujarnya.

Dalam pertemuan terakhir Jerman dengan Mexico ketika separuh akhir Piala Konfederasi 2017, Werner menjadi salah satu penjaring gol sehingga membolehkan pasukannya menang 4-1.

Bagaimanapun, Kimmich mengakui Mexico kini telah banyak berkembang sejak perlawanan tersebut.

"Pasukan kami telah berubah berbanding tahun lalu. Mexico masih memiliki pemain sama tetapi dalam aksi sebelum ini, mereka tampak lebih bagus walaupun kami menang dengan jaringan besar.

"Kami bernasib baik di atas kesilapan yang mereka lakukan," tambahnya.