BAYERN MUNICH 3 NURNBERG 0

Joshua Kimmich daripada skuad Bayern Munich mendedahkan kegembiraannya kerana terlibat dalam kempen Bundesliga yang mencabar.


Pasukan Niko Kovac itu melonjak ke tangga kedua dengan kemenangan 3-0 ke atas pesaing Bavaria, Nurnberg, pada awal pagi tadi tetapi mereka kekal sembilan mata di belakang pendahulu, Borussia Dortmund, yang mengalahkan Schalke 2-1.

Sepakan sudut Kimmich mencipta gol pembukaan buat Robert Lewandowski dengan penyerang Poland tersebut menokok gol kedua sebelum permainan berusia setengah jam dan kemudian gol sulung Franck Ribery dalam saingan liga musim ini membuatkan mereka terus selesa.

Pemain muda itu hampir melakar gol keempat dalam masa kecederaan apabila rembatan derasnya menggegar palang untuk mereka terus menghambat kedudukan Dortmund.

"Saya tidak pernah mengalami cabaran seumpama musim ini," kata Kimmich kepada laman sesawang rasmi Bayern.

"Musim lalu kami agak ketinggalan tetapi musim ini jurangnya semakin besar.

"Dortmund menang sekali lagi, sebab itulah musim ini sangat menarik.

"Kini kami mempunyai satu situasi berbeza dan perlawanan ini dapat membuktikan bahawa kami juga memiliki pemain yang boleh membuat perbezaan dalam situasi ini."

Kovac mengekalkan kesebelasan utama dalam aksi di Allianz Arena itu, justeru kepercayaan pengurus Bayern itu dibalas dengan persembahan dominan anak buahnya.

"Kami tidak memberi sebarang ruang selama lebih daripada 90 minit," kata Kovac kepada laman sesawang rasmi Bayern.

"Kami sendiri mempunyai banyak peluang, saya berpuas hati dengan persembahan ini. Adalah penting bahawa kami tidak dibolosi.

"Keputusan positif adalah mustahak. Kami telah memenangi tiga perlawanan berturut-turut, saya berpuas hati."

Tumpuan Kovac kini akan beralih kepada pertembungan Liga Juara-Juara (UCL) dengan Ajax pada pertengahan minggu nanti dengan kedudukan teratas dalam Kumpulan E menjadi pertaruhan.