Meskipun dicanang sebagai penyerang yang mampu menyelesaikan masalah jentera serangan skuad negara, pengendali pasukan B-22 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, beranggapan kehebatan Luqman Hakim Shamsuddin belum mampu meyakinkan.

Beliau mengambil pendekatan sama seperti ketua jurulatih skuad senior, Tan Cheng Hoe, yang terlebih dahulu mahu melihat kemampuan Luqman Hakim dalam aksi di peringkat lebih tinggi.

"Saya ingin melihat Luqman dalam latihan di peringkat lebih tinggi. Kini dia hanya beraksi dalam skuad B-19 tetapi belum ke saingan lebih tinggi. Masa perlu diberikan kepadanya untuk menyertai skuad B-23 atau senior pada masa depan dengan cara yang betul," katanya.

Pemain berusia 17 tahun dari Kelantan itu akan beraksi dalam Kejohanan AFC B-19 di Kemboja sebelum menyertai pemilihan skuad B-22 negara ke Sukan SEA Filipina bulan depan.

Kelibat Luqman Hakim jadi tumpuan setelah jentera serangan skuad kebangsaan tumpul ketika berdepan Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Hanoi, Khamis lalu.

"Kalau kami mengambil langkah terburu-buru, kemungkinan ada impak berbeza. Harus tahu bahawa pemain bawah 18 atau 19 tahun berpotensi tinggi diletakkan dalam skuad B-23 atau pasukan senior tetapi jika sesuatu berlaku kepada Luqman, ia akan memberi satu kesan berbeza pada masa akan datang."