Kim Swee mahu uji skuad remaja Australia 

Oleh Penulis Jemputan 8 Disember 2017 749
 Kim Swee mahu uji skuad remaja Australia 
Ketua jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, masih menunggu jawapan daripada pasukan Australia B-23 bagi aksi persahabatan terakhir ketika di China sebelum bertemu Iraq bagi aksi pertama Kejohanan AFC B-23, bulan depan. 

Enam aksi persahabatan berada dalam perancangan Kim Swee, namun dia masih menunggu jawapan daripada skuad remaja Socceroos. 

Elemen kecergasan pemain tetap menjadi keutamaan Kim Swee dalam keenam-enam aksi ujian itu yang akan menerapkan barisan dan corak permainan berbeza. 

"Kami inginkan perlawanan yang tidak melibatkan perjalanan jauh dan pasukan yang mempunyai corak permainan yang lebih kurang sama dengan Iraq, Jordan dan Arab Saudi," katanya. 

Anak buah Kim Swee akan diuji dalam dua aksi persahabatan, iaitu membabitkan PJ Rangers esok serta pertemuan dengan Melaka United minggu depan sebelum berlepas ke Mokpo, Korea Selatan. 

Sepanjang kem latihan di sana, tiga aksi persahabatan diatur dengan kelab universiti di sekitar Mokpo. 

"Saya ingin melihat lebih banyak aksi daripada pemain baru seperti tonggak skuad B-19 kerana saya mahu menilai sejauh mana mereka dapat menyesuaikan diri bersama pasukan ini dalam strategi-strategi tertentu. 

"Dalam enam perlawanan ini, tidak semua pemain akan diturunkan, mungkin hanya segelintir pemain yang akan beraksi dalam tiga atau empat perlawanan," tambahnya.

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen