Kim Swee mahu pastikan Harimau Malaysia lepasi peringkat kumpulan

Oleh Staff Writer 17 November 2016 1
Kim Swee mahu pastikan Harimau Malaysia lepasi peringkat kumpulan
Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, mahu memadam luka lama selepas menyuarakan tekad untuk memastikan Harimau Malaysia melepasi halangan peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF 2016, dengan Kemboja menjadi lawan sulung skuad negara, Ahad ini.

Kim Swee menjejakkan kaki ke bumi Myanmar diiringi harapan agar keputusan cemerlang pada penampilan sulungnya dalam kejohanan itu menjadi realiti.

Namun, peristiwa empat tahun lalu di negara itu ternyata masih segar dalam ingatannya. Ketika itu, dia yang membimbing skuad bawah 22 tahun negara, gagal melepasi cabaran peringkat kumpulan aksi kelayakan Piala AFC B-22, sekali gus meninggalkan kenangan pahit buat dirinya.

"Kali ini berbeza, ini adalah kejohanan yang berprestij di Asia Tenggara dan melibatkan pemain-pemain senior.

"Apa yang berlaku sebelum ini tidak dapat mengubah apa-apa dalam persiapan kami kali ini," jelasnya.

Skuad negara menjalani latihan hari kedua di Stadium Aung San, Yangon, dengan semua pemain bebas daripada sebarang kecederaan. 

Kali ini, mereka bakal berdepan dengan cabaran sebenar apabila beraksi dalam cuaca panas.

"Daripada semalam hingga Sabtu ini, kami akan menjalani latihan pada pukul 3.30 petang. Saya percaya persediaan beberapa hari ini akan membantu pasukan," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen