Jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, akan menggunakan aksi persahabatan dengan Petaling Jaya Rangers (PJ Rangers) esok untuk mengenal pasti pemain dalam skuad B-21 yang mampu beraksi di peringkat tertinggi.

Kim Swee, yang baru pulang daripada program kejurulatihan selama sebulan dengan Atletico Madrid, Khamis lalu, juga enggan menjadikan keputusan perlawanan dengan kelab itu sebagai ukuran.

Katanya, objektif utama pembentukan skuad itu adalah bagi mengenal pasti pemain yang mampu dipanggil ke skuad B-23 untuk saingan kelayakan Kejohanan AFC tahun depan.

Jurulatih itu mengakui pemain yang dipanggil untuk skuad kali ini juga dibarisi sebahagian besar pemain yang belum mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa.

"Saya tidak boleh mengharapkan sesuatu yang luar biasa. Kami tahu ia akan mengambil masa, lebih-lebih lagi 80 peratus pemain yang dipanggil tidak mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa.

"Jadi, ia memerlukan masa dan baik untuk saya sendiri dapat melihat mereka dalam tempoh 10 hari ini," ujarnya.

Daripada senarai 26 pemain yang dipanggil, hanya penjaga gol Kuala Lumpur, Khatul Anuar Md Jalil, dan Muhamad Hafiy Haikal Ismail mempunyai pengalaman antarabangsa dengan Harimau Muda C pada 2015.

"Tiada banyak yang ingin saya lihat daripada segi keputusan. Saya hanya mahu melihat sama ada mereka faham dengan apa yang kami lakukan selama 10 hari berlatih.

"Ini lebih penting bagi melihat mereka dapat mengadaptasi dengan lebih cepat," kata Kim Swee lagi.