Meskipun mendapat desakan agar meletak jawatan, jurulatih skuad bola sepak negara, Datuk Ong Kim Swee, tetap fokus dengan tugasan dalam kelayakan Piala Asia 2019 sambil mengesahkan Bahrain dan China bakal menguji kekuatan Harimau Malaysia awal tahun depan.

Kim Swee menerima kritikan hebat selepas skuad negara tersingkir awal dalam saingan Piala Suzuki AFF 2016 di Yangon, Myanmar, bulan lalu.

Ketika pengendali berusia 45 tahun itu enggan mengundur diri, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pula enggan memecatnya.

Lantas, Kim Swee yang mempunyai kontrak sehingga hujung tahun 2017 tetap meneruskan perancangannya bagi menghadapi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia, Mac depan.

"Buat masa ini, saya masih lagi meneruskan perancangan yang kita perlu lakukan tanpa sebarang halangan dan kita akan lihat apa yang berlaku selepas ini," katanya.

Undian kelayakan kejohanan itu akan berlangsung 23 Januari ini dengan aksi pertama pada 28 Mac, iaitu tiga hari selepas Kongres Pemilihan FAM Ke-53.

Skuad negara dijangka mengadakan beberapa aksi persahabatan untuk menghadapi saingan getir itu nanti.

"Kami menerima jemputan daripada pasukan Bahrain, China, Fiji dan dua atau tiga negara lagi. Kami belum memutuskan mengenai perkara itu bersama pihak pengurusan," tambahnya.

Sepanjang memegang jawatan panas selaku jurulatih bola sepak negara, Kim Swee dan skuad bimbingannya mengumpul lapan kemenangan, tewas 10 dan seri tujuh dalam 25 perlawanan.

Dalam 25 perlawanan itu juga, mereka dibolosi sebanyak 29 kali dan menghasilkan 23 jaringan.

Skuad negara mengalami kekalahan terbesar ketika berdepan Palestin apabila tewas 0-6.