Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone, mengalu-alukan kepulangan Kieran Trippier ke sesi latihan tatkala berdepan penggantungan selama 10 minggu angkara melanggar peraturan judi yang ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Pertahanan berusia 30 tahun itu digantung dan didenda sebanyak £70,000 (RM383,309) pada 23 Disember lalu selepas Persatuan Bolasepak (FA) mendapati dia bersalah atas empat daripada tujuh tuduhan kerana melanggar peraturan E8 (1) (b).

Atletico bertindak mengemukakan rayuan kepada badan induk dunia itu yang kemudian membenarkan Trippier untuk terus beraksi tatkala jawatankuasa rayuan mempertimbangkan kes berkenaan.

Dengan alasan bertulis yang diterbitkan oleh FA semalam untuk menjelaskan punca hukuman itu dijatuhkan, Trippier didapati memberitahu seorang rakannya, "Lump on if you want mate" dalam salah satu siri pesanan di sebuah kumpulan WhatsApp dan mereka ketika itu membincangkan perpindahannya ke Atleti yang bernilai €22 juta (RM108.6j) pada Julai 2019.

Alasan Trippier bahawa mesej itu sekadar "olok-olok" tidak diterima dan salah seorang rakannya, Oliver Hawley, didapati meletakkan 10 pertaruhan berasingan berharga di antara £20 (RM109) hingga £65 (RM355) ke atas bek kanan tersebut untuk menyertai Atletico.

Matthew Brady, yang bertanya kepada Trippier, "Haruskah aku melepaskan kamu ke sana?" sementara dua lagi rakannya meletakkan pertaruhan lebih tinggi di antara £20 dan £300 (RM1,642).

"Larangan itu ditangguhkan. Kami boleh mendapatkan semula Trippier," kata Simeone.

"Saya akan memeluknya dan mereka akan memberitahu maklumat lebih lanjut dalam beberapa hari akan datang."



Namun, bekas pemain Tottenham itu mungkin perlukan masa untuk beraksi semula dan tidak akan mengambil bahagian dalam aksi Copa del Rey di Cornella, awal pagi esok.

"Dia sedang berlatih berasingan. Dia tidak akan mengambil bahagian dalam perlawanan esok," katanya.

Sebagai sebahagian daripada penyiasatannya, FA mengambil kira keterangan saksi antaranya melibatkan pengurus England, Gareth Southgate, dan ketua pasukan Three Lions, Harry Kane.

Musim ini, dia telah memperkuatan Atletico dalam 19 perlawanan.