Khelaifi janji PSG akan julang UCL

Oleh Ammar Hakim 24 Ogos 2020 2634
Khelaifi janji PSG akan julang UCL
Nasser Al-Khelaifi berjanji Paris Saint-Germain (PSG) akan memenangi Liga Juara-Juara (UCL), berkata selepas tewas dalam final kepada Bayern Munich awal pagi tadi telah memberikan mereka ke yakinan yang jauh lebih tinggi berbanding sebelum ini.

PSG tidak dapat mengakhiri penantian untuk meraih kejayaan di pentas Eropah di Lisbon, tandukkan Kingsley Coman memastikan kemenangan 1-0 buat Bayern dan melengkapkan treble kedua buat kelab Jerman itu selepas menjuarai Bundesliga, DFB-Pokal dan UCL dalam musim yang sama.

Gergasi Ligue 1, PSG, menyapu bersih kejuaraan di pentas domestik, memenangi empat gelaran di Perancis tetapi sasaran utama mereka gagal diraih di sebalik pelaburan yang telah dilakukan sejak Qatar mengambil alih pasukan itu pada 2011.

Tetapi presiden, Al-Khelaifi, berkata usaha PSG pada musim 2019-20 membuktikan mereka semakin hampir menggapai kejuaraan Eropah.

"Kami sangat bersedih [tetapi] tidak melupai perkara-perkara yang telah dicapai musim ini," katanya kepada RMC Sport. "Dalam aksi final, kami tewas 1-0 tetapi berhak menjaringkan dua atau tiga gol, ia sangat sengit.

"Saya sangat berbangga dengan pemain. Kami mengharungi musim yang cemerlang, pertandingan yang berkualiti di sini. Kami telah melakukan segala-galanya untuk menang, tetapi inilah bola sepak. Kami akan berusaha untuk menang musim depan. Hari ini, kami lebih mempercayainya berbanding sebelum ini. Saya berjanji kami akan memenangi UCL.

"Pemain-pemain, sejujurnya mereka telah berusaha untuk melakukan sesuatu. Kami berdepan Bayern. Mereka adalah salah satu pasukan terbaik dunia. Kami tewas 1-0.

"Anda perlu memperbaiki kelemahan-kelemahan kecil. Ini merupakan final pertama PSG, sementara yang ke-11 buat Bayern.

"Ia merupakan musim yang cemerlang buat PSG, kami melangkah ke final, menang empat gelaran. Kami bersedih, kecewa tetapi melihat kepada sudut yang positif, kami akan kembali bangkit. Bukan mudah untuk mara ke final. Kami akan melakukan yang terdaya untuk memenangi UCL."


 

 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen