Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali, bersetuju dengan cadangan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mencalonkan Pengerusi Jawatankuasa Integriti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Aseh Che Mat, sebagai presiden baharu FAM pada kongres pemilihan awal tahun depan.

“Saya sokong cadangan TMJ yang mahu mencalonkan Tan Sri (Aseh) berdasarkan kredibiliti dan keupayaan untuk membangunkan kualiti bola sepak negara. Cuma, statut mengatakan bahawa exco mestilah datang dari kelab atau ahli gabungan.

“Jadi, kita kena tengok semula sama ada Tan Sri mewakili kelab atau tidak bagi membolehkan dia dicalonkan merebut kerusi Ppresiden FAM,” katanya kepada media selepas aksi persahabatan bekas pemain Kelantan menentang bekas pemain Malaysia di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam kelmarin.

Dalam perkembangan lain, bekas pemain Selangor ini memuji langkah Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) yang menganjurkan perlawanan persahabatan di antara Legenda Malaysia menentang Legenda Kelantan.

“Satu langkah yang wajar dipuji bagi memberi peluang kepada generasi baharu mengenali siapa pemain hebat bola sepak negara pada tahun 70-an dan 80-an dahulu. Mereka dapat mengenali Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, Hassan Sani dan ramai lagi.

‘Secara peribadi,sudah hampir 25 tahun saya tidak menjejak kaki ke Kelantan dan aksi persahabatan ini membolehkan kami (pemain) terus berhubung antara satu sama lain. Terima kasih penganjur,” katanya.