Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, sedia untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung ketirisan kontrak bernilai RM85 juta dalam pembinaan Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Jelas Khairy, tugasnya sudah pun selesai dalam mencari peruntukan dan memastikan projek pembinaan itu berterusan hingga selesai.

Malah, beliau tiada masalah untuk memberi kerjasama kepada SPRM andai benar dakwaan terdapat kepincangan dalam kontrak RM85 juta berkenaan.

Projek itu juga sememangnya sudah dipantau sebaik-baiknya dari awal sehingga diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Saya terbuka dalam hal ini. Saya cuma bertanggungjawab untuk mendapatkan peruntukan bagi membangunkan AMD," katanya.

Tambah Khairy, ini bukanlah masa untuk menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya perlu berkeras kepada kontraktor utama agar menyelesaikan masalah berkenaan dengan segera.

Ini kerana projek itu masih di bawah tanggungan kontraktor selama selama tahun dengan menganggap perkara sebegini adalah normal.

"Saya telah memberitahu supaya menggantikan barang-barang yang mengalami kerosakan sebulan sebelum saya melepaskan jawatan dalam KBS. Tetapi mereka tidak melakukannya," ujarnya.

Sementara itu, Khairy berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membuat keputusan yang tepat dalam menilai semula gaji RM175,000 yang diterima bekas pengendali skuad B-16 negara, Lim Teong Kim.

Ini kerana banyak peluang lebih besar pastinya menanti Teong Kim di luar negara tanpa perlu menunggu terlalu lama tawaran di Malaysia berhubung gaji yang bakal dirundingkan semula itu.

Namun, semuanya bergantung kepada KBS dan juga bekas jurulatih akademi bola sepak di Bayern Munich itu dalam mencari satu keputusan bersama.

"Saya menyerahkan kepada KBS untuk merundingkan semula bersama Teong Kim mengenai isu gaji ini."