Exco Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM), Khairul Fahmi Che Mat, berharap kebajikan pemain akan dijadikan keutamaan setiap pengurusan pasukan negeri dan kelab untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Penjaga gol kebangsaan itu berkata masih terdapat masalah gaji tertunggak pemain dalam kalangan sesetengah pasukan musim ini.

Katanya, isu gaji tertunggak tidak boleh terus membelenggu saingan Liga M dalam usaha untuk meningkatkan aras bola sepak negara ke tahap lebih tinggi.

"Periuk nasi pemain adalah daripada gaji bola sepak. Jadi, perkara itu sangat penting. Kalau boleh pengurusan memberi komitmen untuk menjaga kebajikan pemain seperti gaji, insurans dan juga lain-lain yang dapat membantu pemain," katanya.

Dalam pada itu, Khairul Fahmi turut berharap penjadualan perlawanan akan lebih tersusun pada musim depan, khususnya dalam saingan Piala Malaysia.

Tambah pemain Kelantan itu, sukar untuk pemain memberikan aksi terbaik jika tidak dapat melakukan proses pemulihan mencukupi selepas mengharungi perlawanan dalam jadual musim yang padat.

"Dalam tahun ini, ada satu bulan itu jadual perlawanan sangat padat. Pemain-pemain pun ada merungut, pengurusan pasukan pun ada memberitahu jadual liga sangat padat.

"Mana-mana pasukan bermain dalam Piala AFC yang dapat layak jauh dalam Piala Malaysia sangat penat. Bagi saya, kita perlu memperbaiki lagi jadual ini."

Khairul Fahmi kini berada dalam persiapan skuad Harimau Malaysia yang akan membuka tirai kempen Piala AFF Suzuki 2016 berdepan Kemboja pada 20 November.

Sebelum itu, Malaysia akan berdepan Papua New Guinea dalam perlawanan pemanas badan di Stadium Shah Alam, 14 November ini.