NAPOLI 1 LIVERPOOL 0

Jurgen Klopp kecewa dengan barisan penyerangnya dalam kekalahan 0-1 Liverpool kepada Napoli dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL) sambil mendedahkan Roberto Firmino dan Sadio Mane menyimpan bola terlalu lama.


Liverpool tenggelam di Stadio San Paolo awal pagi tadi yang menyaksikan Lorenzo Insigne memanfaatkan kelebihan itu.

Tiga penggempur The Reds yang dibarisi Firmino, Mane dan Mohamed Salah mempamerkan aksi yang amat mengecewakan apabila hanya mencetuskan sedikit impak dalam perlawanan tersebut.

Klopp mengakui keputusan seri adalah lebih adil dan berasakan formasi yang digunakan Liverpool adalah suatu kesilapan.

Bercakap kepada BT Sport, Klopp berkata: "Kami mempunyai peluang tetapi gerakan kami terlalu kerap tidak betul atau ke ruang yang salah.

"Langkah mengetengahkan tiga pemain di bahagian tengah hampir mustahil. Anda perlu bertenang dalam keadaan seperti itu, namun kami terlalu gopoh dengan bola.

"Anda perlu bersedia (sistem) dengan baik. Anda tidak boleh berharap sesuatu akan berlaku.

"Kadang-kadang, Bobby (Firmino) atau Sadio (Mane) berlari terlalu lama dengan bola. Ketika itu terjadi, anda tidak dapat menghasilkan gerakan berbahaya.

"Pemain tengah atau pertahanan cuba untuk mara ke hadapan tetapi kami kehilangan bola dan harus kembali ke kubu sendiri.

"Kami mempunyai peluang menarik tetapi tidak memadai. 0-0 di tempat lawan adalah bagus, namun kami membuat kesilapan taktikal sebelum jaringan mereka.

"Ini adalah kali kedua kami telah melepaskan gol seperti itu musim ini. Justeru, mereka mengawal tempo permainan kerana kami membiarkan mereka melakukan apa yang mereka mahukan. Itulah kisah permainan ini.

"Kami mahu beraksi lebih baik daripada apa yang kami lakukan. Walaupun kami tidak bermain dengan cemerlang, kami mahukan keputusan positif. Kami tidak begitu bagus, kami perlu menyalahkan diri sendiri."

Kecederaan belakang memaksa Naby Keita dikeluarkan dalam separuh masa pertama, begitupun Klopp tidak dapat menawarkan sebarang maklumat lanjut.