Keputusan seri satu langkah ke depan buat Itali -- Mancini

Oleh Penulis Jemputan 18 November 2018 103
Keputusan seri satu langkah ke depan buat Itali -- Mancini
ITALI 0 PORTUGAL 0

Ketua jurulatih Itali, Roberto Mancini, memuji langkah ke depan pasukannya dalam mengikat Portugal untuk keputusan seri dalam saingan Liga Negara-Negara Eropah di Milan, awal pagi tadi.


Skuad Azzurri itu mendominasi perlawanan di San Siro dengan menghasilkan deretan peluang dalam babak pertama.

Ciro Immobile terlepas dua peluang berharga dengan percubaannya dari jarak dekat tersasar di awal permainan sebelum gagal menewaskan Rui Patricio dalam situasi satu lawan satu pada setengah jam pertama perlawanan.

Keputusan seri tanpa jaringan itu melayakkan Portugal layak ke pusingan akhir kejohanan, namun Mancini dapat melihat aspek positif yang dipaparkan pasukannya berbanding perlawanan-perlawanan sebelum ini.

"Apa yang paling penting dalam bola sepak adalah menjaringkan gol. Kami perlu memperbaiki keberkesanan kami menyudahkan peluang," katanya kepada wartawan.

"Kami mendominasi Portugal, namun mula keletihan dalam separuh masa kedua.

"Bagaimanapun, ia satu langkah ke depan jika dibandingkan dengan perlawanan berdepan Poland (kemenangan 1-0 dalam Liga Negara-Negara) sebelum ini.

"Portugal pasukan yang lebih baik berbanding Poland dan kami menguasai sepanjang perlawanan.

"Kami bukan sahaja bermain untuk menang tetapi juga untuk memberikan pengalaman buat pemain-pemain muda," katanya lagi.

Giogio Chiellini, yang melakukan penampulan ke-100 bersama Itali, bersetuju dengan apa yang diperkatakan jurulatihnya itu.

Dia yakin masalah ketumpulan penyudah akan diselesaikan mereka dengan sendirinya.

"Kami mempunyai asas yang baik. Kami mendominasi juara Eropah itu, cuma kami tidak dapat menghasilkan jaringan.

"Kami masih mengenali antara satu sama lain.

"Kami masih ada satu lagi perlawnan persahabatan menentang Amerika Syarikat (AS), minggu depan.

"Saya rasakan kami telah melakukan yang terbaik dalam kempen Liga Negara-Negara Eropah," katanya. 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen