Pemain tengah Bayern Munich, Thiago Alcantara, berkata menewaskan RB Leipzig bernilai lebih daripada tiga mata.

Penyandang juara Bundesliga itu melakar kemenangan 3-0 di Allianz Arena pada Rabu, dengan Alcantara membuka tirai jaringan sebelum membantu Xabi Alonso meledak gol kedua perlawanan.

Bayern kemudiannya selesa di depan 3-0 menerusi sepakan penalti Robert Lewandowski selepas Emil Forsberg dibuang padang susulan kekasaran ke atas Philipp Lahm.

Kemenangan kelima berturut-turut Bayern kini meletakkan mereka tiga mata di hadapan Leipzig, sekaligus memastikan mereka mendahului carta liga memasuki cuti sempena Krismas.

"Setiap kemenangan membawa erti berbez, tetapi ini bukan sekadar tiga mata -- kami kini menjarakkan diri dengan pencabar terdekat dengan jurang tiga mata," kata Alcantara selepas perlawanan.

"Kami mahukan takhta selaku pendahulu dan kami juga mahu mengulangi kejayaan musim lalu -- itulah sasaran kami.

"Kami sudah bersedia untuk menghadapi apa sahaja. Kami memiliki perwatakan yang baik untuk memenangi perlawanan ini demi penyokong yang hadir ke stadium.

"Saya gembira kerana berjaya melakar nama selaku penjaring."

Bundesliga kini akan berehat selama sebulan, dengan Bayern bakal memulakan saingan pada 20 Januari depan dengan berdepan Freiburg.