Jose Mourinho menganggap kekalahan Tottenham dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu ibarat pendaratan di bulan yang tidak berjaya.

Di bawah bimbingan Mauricio Pochettino, Spurs tumbang 0-2 kepada pesaing Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, dalam final UCL pertamanya.

Mourinho, yang memenangi kejohanan itu bersama Porto pada 2004 dan Inter pada 2010, dan dilantik sebagai pengganti Pochettino minggu lalu, mengakui kekalahan kepada pasukan bimbingan Jurgen Klopp itu mungkin memberi kesan kepada barisan pemain yang baru dibimbingnya itu.

Bercakap menjelang sentuhan pertamanya dalam kejohanan Eropah itu bersama Spurs apabila bertemu Olympiacos awal pagi esok, Mourinho berkata: "Saya sukakan saingan ini, sama seperti semua orang dalam kancah bola sepak.

"Ini adalah sesuatu yang semua orang impikan untuk memenanginya. Bukan semua orang bertuah untuk memenangi UCL dan saya cukup gembira dapat melakukannya.

"Sekiranya Mauricio pernah mengatakannya (bahawa kekalahan dalam final telah mempengaruhi pemainnya), maka dia sudah berada di sini dan berkongsi perasaannya. Ia ibarat pendaratan di bulan tetapi anda tidak melakukannya.

"Lihatlah kepada Liverpool, yang mengalami kekecewaan gagal memenanginya dan kemudian pada musim seterusnya, mencapai final dan menjuarainya.

"Akan ada perincian mengenai kejayaan dan kegagalan anda dalam setiap kempen UCL, misalnya berapa kalikah saya kalah dalam sepakan penalti atau pada minit-minit akhir permainan. Perincian menjadi perbezaannya.

"Dalam kes saya, musim ketika saya tewas dalam penentuan penalti separuh akhir (kepada Bayern Munich pada musim 2011-12) ketika membimbing Real Madrid, saya rasa itulah pasukan terkuat yang dimiliki Real Madrid dalam tempoh 15-20 tahun lalu.

"Kami memenangi liga tetapi kalah dalam sepakan penalti kerana tiga penyepak penalti terbaik di dunia, Kaka, (Sergio) Ramos dan (Cristiano) Ronaldo gagal menyempurnakannya. Kami adalah pasukan terbaik.

"Bagi Spurs pula, mereka hanya mempunyai butiran kecil musim lalu. Video bantuan pengadil (VAR) menyebelahi mereka, termasuk jaringan Lucas (Moura) di Amsterdam. Untuk layak ke pentas final adalah satu pencapaian, bukannya sejarah."

Tottenham akan layak ke pusingan 16 jika menang ke atas pencabar dari Greece itu di Stadium Tottenham Hotspur tetapi pengurus Portugis berkenaan belum mahu memikirkan mengenai kemungkinan untuk mendakap trofi tersebut.

"Dengan barisan pemain ini, saya tidak akan takut dengan sebarang perlawanan UCL," katanya. "Kami masih perlu melayakkan diri. Hanya sebaik pasukan saya meraih tempat dalam suku akhir, barulah saya akan mula memikirkan bahawa kami akan mempunyai peluang."