Kem negara enggan tuding kepada Safiq 

Oleh Penulis Jemputan 11 Oktober 2017 5023
Kem negara enggan tuding kepada Safiq 
Pemain pertahanan kanan skuad bola sepak negara, Matthew Davies, enggan menyalahkan ketua pasukan, Safiq Rahim, atas insiden kad merah ketika kalah 2-0 kepada Hong Kong dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019, malam tadi. 

Bagi pemain Pahang itu, Safiq tetap seorang pemain yang dihormatinya. 

Davies turut menyifatkan pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT) itu bersikap profesional dengan memohon maaf kepada rakan sepasukan mengenai layangan kad merah itu. 

"Dia seorang pemain yang hebat dan dia sedar kesilapannya.

"Perkara seperti ini berlaku dalam perlawanan dan dia segera memohon maaf kepada rakan sepasukan sebagai seorang pemain yang profesional," kata Davies. 

Pengendali kebangsaan, Nelo Vingada, turut tidak mahu meletakkan penyingkiran Safiq sebagai faktor kekalahan. 

Malah, Vingada juga akur dengan keputusan pengadil perlawanan, Nivoon Robesh Gamini, yang mengambil tindakan tegas itu ke atas Safiq. 

"Pada pandangan saya, Safiq cuba mengawal bola.

"Safiq bukanlah pemain yang suka membuat terjahan agresif seperti itu," ujarnya dalam sidang akhbar sejurus permainan berakhir.

Kekalahan kepada Hong Kong itu mengekalkan Malaysia di tangga tercorot kumpulan dan hampir pasti terkandas daripada ke pusingan akhir walaupun masih berbaki tiga perlawanan -- secara timbal balik dengan Korea Utara dan perlawanan di tempat lawan dengan Lubnan.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen