Luis Suarez berusaha keras untuk memanfaatkan gandingannya bersama Angel Correa dan Joao Felix, menurut pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone.

Pemain antarabangsa Uruguay itu telah menyumbat empat gol dalam tujuh penampilan sejak menyertai Atleti daripada seteru LaLiga, Barcelona, dengan harga murah September lalu.

Dia tumpul ketika membenam Salzburg 3-2 sementara direhatkan dalam kemenangan 3-1 ke atas Osasuna hujung minggu lalu yang menyaksikan Joao Felix menemui penyudah dalam kedua-dua perlawanan terbabit.

Correa mencipta peluang buat Joao Felix dalam setiap perlawanan itu sambil mengukuhkan peranannya untuk bergandingan di samping pemain muda Portugal tersebut.

Namun, Simeone menegaskan kehadiran Suarez telah menyerlahkan kemampuan rakan sepasukannya, sehubungan itu beliau menggesa anak buahnya yang lain membalas budi penggempur berpengalaman berkenaan.

"Saya percaya bahawa semua ini berpunca daripada kehadiran Suarez," katanya dalam sidang media menjelang pertembungan Liga Juara-Juara (UCL) dengan Lokomotiv Moscow di tempat lawan, awal pagi esok.



"Dengan kelibat Diego Costa dan Alvaro Morata di jentera serangan sebelum ini, masing-masing mempunyai ciri berbeza tetapi kami mendambakan kualiti yang lain.

"Luis memerlukan lebih ramai pemain untuk berada dekat dengannya, hampir di posisi di mana dia mampu melukai lawan dan itulah matlamat pasukan.

"Kami harus menyesuaikan diri ketika mengetengahkan Radamel Falcao, Costa dan kini Suarez pula."

Joao Felix mencetak gol dalam dua perlawanan di tempat lawan termasuk ketika menentang Lokomotiv dalam UCL musim lalu.

Pasukan Russia itu hanya memungut satu mata selepas dua perlawanan Kumpulan A selain tewas sembilan kali daripada 11 perlawanan Eropah ketika bertemu kelab Sepanyol, namun Simeone enggan memandang rendah keupayaan lawan.

"Kami akan menghadapi pasukan yang sangat kompetitif," katanya.

"Rekod 14 perlawanan terakhir mereka sudah cukup membuktikannya.

"Selalunya mereka hanya tewas tipis dengan jurang satu gol, mereka selalu memberi tekanan dan ia membuatkan perlawanan ini akan menjadi kompetitif.

"Anda perlu merujuk kepada 15 perlawanan barulah boleh mendapati kekalahan 0-2 mereka. Pasukan yang berjuang seperti ini selalunya gemar mengasak. Kami akan menghadapi perlawanan ini dengan berfikir bahawa kami mampu menyakiti mereka."