Penyerang Harimau Malaya, Shahrel Fikri Md Fauzi, melakar sejarah peribadi apabila menjadi pemain pertama negara yang meledak hatrik dalam saingan kelayakan Piala Dunia sejak Azman Adnan melakukannya pada 1993.

Shahrel meraih jaringan hatrik pertamanya buat skuad kebangsaan ketika menewaskan Timor Leste 5-1 dalam aksi kedua play-off kelayakan Piala Dunia Qatar 2022/Piala Asia China 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Penyerang Perak berkenaan mengulangi aksi cemerlang Zaquan Adha Abdul Radzak yang melakar hatrik dalam aksi persahabatan antarabangsa menentang Bhutan, April tahun lalu.

Namun, lebih manis, Shahrel menyamai pencapaian Azman selaku bekas pemain kebangsaan yang meledak hatrik di pentas kelayakan Piala Dunia ketika bertemu Macau, 26 tahun lalu.

"Ini semua hasil sumbangan daripada rakan sepasukan dan saya berbangga dengan komitmen sendiri dan rakan-rakan.

"Alhamdulillah atas jaringan malam ini (tadi), saya cuma berikan segala kudrat ," katanya.

Shahrel mengakui persaingan sengit dalam kesebelasan utama skuad negara mencetuskan semangatnya untuk mempamerkan persembahan terpuji.

Dia sekadar bermula di bangku simpanan dalam dua aksi terdahulu, namun diberi peluang untuk membarisi kesebelasan utama susulan kecederaan yang menimpa Syafiq Ahmad.

"Masing-masing mempunyai corak permainan tersendiri.

"Saya tidak boleh membandingkan diri dengan Syafiq yang mewakili Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Saya diberikan peluang oleh Cheng Hoe dan saya telah membuktikan kemampuan untuk bergandingan dengan Norshahrul Idlan Talaha di bahagian serangan," tambahnya.

Malah, penyerangnya, Joao Pedro da Silva Freitas, tetap berbangga kerana berjaya menerjah gawang Malaysia walaupun pasukannya sekali lagi mengalami kekalahan besar.

"Ini langkah penting buat skuad muda dan kami jadi ini sebagai pengalaman pada masa akan datang," katanya.