Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Kerjasama, semangat kunci utama Malaysia

Oleh Staff Writer 10 Oktober 2019
Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Kerjasama, semangat kunci utama Malaysia
"Kerjasama dan semangat berpasukan adalah taktikal utama kami."

Itu reaksi pengendali negara, Tan Cheng Hoe, yang tanpa berselindung mengakui tiada sebarang strategi khusus untuk berdepan dengan Vietnam dalam aksi ketiga saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional My Dinh, malam ini.

Pendekatan taktikal bekas ketua jurulatih Kedah itu menjadi persoalan setelah pasukannya gagal menumbangkan Vietnam dalam tiga pertemuan tahun lalu.

Tatkala ramai beranggapan jurulatih berusia 51 tahun itu akan melakukan perubahan dalam corak permainan untuk mengatasi lawan kali ini, situasi sebaliknya berlaku apabila Cheng Hoe mendedahkan hanya semangat juang berpasukan mampu menjadi senjata utama skuad negara.

"Corak permainan kami tidak banyak berubah. Apa yang penting adalah peningkatan setiap individu dalam pasukan. Kalau aspek individu dapat ditingkatkan, sudah tentu semangat dan kerjasama menjadi taruhan utama bagi mendapatkan keputusan positif," katanya.

Komitmen tinggi yang ditunjukkan pemain negara ketika membenam Sri Lanka 6-0, Sabtu lalu menyukarkan pengendali itu untuk menentukan kesebelasan utamanya.

Apatah lagi, skuad Harimau Malaya kini kembali diperkuatkan dengan kehadiran pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh, untuk aksi malam ini.

"Kami harap aksi menentang Vietnam akan ada peningkatan. Mungkin kehadiran Sumareh akan beri kesan kepada pasukan tetapi kami cuba meneliti sama ada pemain lain akan turut diberi peluang," tambah Cheng Hoe.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen