Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Junior Eldstal, Luqman Hakim, Liridon sah wakili negara

Oleh Muzaffar Musa 15 April 2021 10070
Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Junior Eldstal, Luqman Hakim, Liridon sah wakili negara
Liridon Krasniqi, Luqman Hakim Shamsudin dan Junior Eldstal sah terpilih mewakili negara bagi kempen pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia, Jun depan apabila ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, mengesahkan tiga pemain yang berada sedang berada di luar negara itu akan menerima suntikan vaksin COVID-19.

Semalam, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan 78 individu membabitkan pemain, barisan kejurulatihan dan pegawai sekuad kebangsaan akan diberikan suntikan vaksin bermula Isnin ini sebelum berlepas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Cheng Hoe, dalam satu temu bual bersama Nadi Arena, menyambut baik perkhabaran terbaru itu dengan berkata: "Ia sememangnya satu khabar gembira buat skuad kebangsaan. Kami berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal (Merican Naina Merican) kerana dengan usaha beliau, kami akhirnya akan mendapatkan suntikan vaksin pertama untuk pemain dan pegawai pasukan kebangsaan."

Mengenai senarai pemain yang akan menerima suntikan itu, Cheng Hoe menambah: "Kami sudah menyediakan senarai nama yang akan dipanggil tetapi senarai muktamad untuk kem latihan terakhir masih belum ditetapkan.

"Kami sebagai barisan kejurulatihan sentiasa memantau pretasi dan kecederaan setiap pemain supaya apabila mereka hadir ke kem kebangsaan, mereka bebas daripada kecederaan dan dapat memberikan prestasi terbaik.

"Lebih kurang 38 nama pemain sudah disenaraikan (menerima vaksin) supaya mereka tidak berasa risau untuk bertandang ke Dubai.

"Segala urusan vaksin ini akan diuruskan oleh FAM dan saya berharap mereka (Liridon, Luqman Hakim dan Junior Eldstal) juga akan divaksin agar dalam keadaan bersedia untuk ke Dubai," katanya lagi.

Kesemua pemain negara yang terpilih akan berkampung dalam kem latihan pusat bermula 16 Mei ini sehingga tamat kempen pusingan kedua kelayakan Piala Dunia/Piala Asia di UAE.

Malaysia akan berdepan pasukan tuan rumah itu pada 3 Jun depan sebelum bertemu Vietnam lapan hari kemudian.

Aksi penutup saingan itu pula menyaksikan Harimau Malaya akan menghadapi tentangan Thailand pada 15 Jun depan.

Skuad negara setakat ini berada di tangga kedua Kumpulan G dengan sembilan mata, kurang dua mata di belakang pendahulu, Vietnam. 
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen