Reputasi hebat Vietnam yang dibarisi pemain berpangkalan di Eropah tidak menghadirkan rasa gerun kepada skuad Harimau Malaya, sebaliknya menjadi pemangkin semangat untuk misi membalas dendam di bumi Hanoi, Khamis ini.

Kunjungan skuad negara ke Hanoi untuk aksi ketiga Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu cukup getir berdasarkan kehebatan barisan pemain lawan.

Paling mencuri tumpuan ialah kelibat pertahanan, Doan Van Hau, yang mewakili SC Heerenveen dalam Liga Belanda dan penyerang, Nguyen Cong Phuong, yang beraksi dalam Liga Belgium bersama kelab Sint-Truidense V.V.

Mengakui dua pemain itu ancaman utama, ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, bagaimanapun, percaya anak buahnya mampu menyekat kemaraan mereka untuk memastikan keputusan positif dalam pertemuan Khamis ini.

"Dua pemain tersebut telah beraksi berdepan Malaysia sebelum ini. Persembahan mereka semestinya sudah meningkat dan saya telah memberitahu kepada setiap pemain bahawa kami juga memerlukan peningkatan dalam mutu permainan," katanya.

Skuad negara yang tiba awal di Hanoi mendapat tumpuan meluas media tempatan susulan pertemuan di Stadium Nasional My Dinh ibarat aksi ulangan final Piala AFF 2018 yang dimenangi negara itu Disember lalu.

Sudah pasti, Harimau Malaya hadir untuk menebus kekecewaan lalu bagi memastikan perjalanan ke Piala Asia 2023 terus bernyala setelah merekodkan satu kemenangan dan satu kekalahan dalam dua perlawanan terdahulu.

"Sekali lagi saya memerlukan keyakinan serta tumpuan pemain-pemain ketika beraksi. Provokasi di Hanoi nanti mampu menjejaskan persembahan pasukan," tambahnya.