Kelayakan Piala Dunia: Marquinhos tuntut pertahanan Brazil awasi kelibat Cavani 

Oleh Shaiful Shamsudin 17 November 2020 134
Kelayakan Piala Dunia: Marquinhos tuntut pertahanan Brazil awasi kelibat Cavani 
Marquinhos melontarkan amaran kepada rakan sepasukannya di kem Brazil agar memberi fokus 100 peratus terhadap ancaman penyerang Uruguay, Edinson Cavani, dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022, pagi esok. 

Cavani menghabiskan tujuh tahun beraksi di samping pertahanan itu di Paris Saint-Germain (PSG) selepas mereka menyertai pasukan gergasi Ligue 1 berkenaan pada Julai 2013.

Pemain Uruguay itu meninggalkan PSG pada akhir kempen 2019-20 sebagai pencetak gol terbanyak kelab terbabit dengan 200 gol.

Hanya Lionel Messi (432) dan Cristiano Ronaldo (416) telah mengumpul lebih banyak jaringan dalam kancah lima liga teratas Eropah sejak Cavani (250) membuat kemunculan untuk Palermo pada 2007.

Brazil telah memenangi ketiga-tiga perlawanan kelayakan setakat ini, tetapi Marquinhos tetap mahu skuad Samba berwaspada dengan ancaman Cavani -- yang berkelana Manchester United secara percuma -- dalam pertemuan di Montevideo sekiranya mereka berhajat meneruskan rentak kemenangan.

"Bagi saya, sangat seronok bekerja dengan Cavani kerana dia merupakan penyerang hebat," katanya.

"Jika bertembung, kami harus berhati-hati dengannya dan berusaha mengekangnya dengan cara yang terbaik.

 

"Saya sangat gemar menghadapi penyerang hebat, ia boleh meningkatkan tahap saya dan merupakan latihan yang terbaik. Itulah yang membuat saya bertambah baik dan berkembang setiap hari.

"Cavani adalah pemain yang boleh menjadi penentu dan memberi sumbangan besar kepada pasukannya. Kami sedar betapa pentingnya dia buat pasukannya. Dia beraksi di mana-mana sahaja di padang, menyerang dan bertahan.

"Kami harus fokus 100 peratus kerana jika ada sebarang kesalahan walaupun kecil, dia mampu menjaringkan gol."

Cavani menjaringkan gol antarabangsa ke-51 dalam kempen kelayakan Piala Dunia, zon Amerika Selatan itu dengan membenam Colombia  3-0, Sabtu lalu.

Marquinhos sedar bahaya yang boleh dicetuskan penyerang itu, tetapi dia tetap yakin benteng Brazil berpengalaman luas untuk mengekalkan ketenangam.

"Kami sering memberi tumpuan kepada penyerang hebat," tambahnya. 

"Mereka adalah pemain yang harus saya hadapi secara individu tetapi kami akan bekerjasama.

"Ada banyak hal yang mampu kami lakukan untuk membuatkan permainan menjadi sukar bagi pemain-pemain seperti itu, sekali gus memudahkan tugas bertahan kami. Tentu sahaja kami berwaspada tetapi secara kolektifnya, kami akan berusaha membatasi mereka."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen