Keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk menunda perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2023 hanya akan bergantung kepada situasi semasa pandemik COVID-19 dan bukannya berdasarkan suara majoriti, kata setiausaha agung badan induk itu, Datuk Windsor John.

Ia sekali gus berpotensi mendatangkan risiko buat skuad kebangsaan, yang tidak melakukan sebarang persiapan sepanjang setahun ini.

Jika tidak ditunda, perlawanan pusingan kelayakan itu akan diadakan pada bulan depan dan bukannya Jun depan.

Dalam satu temu bual Nadi Arena, Windsor berkata: "Kami akan membuat keputusan mengikut situasi semasa kerana hak untuk bermain di bawah pasukan masing-masing sudahpun dibincangkan dan diputuskan.

"Jadi, untuk menarik baik hak pasukan tuan rumah, ia harus dilakukan mengikut situasi pandemik dan bukannya suara majoriti.

"Banyak aspek yang akan diambil kira dan salah satunya adalah keadaan pandemik di negara pasukan yang bertanding.

"Contohnya jika ada lima pasukan, ia tentang keadaan di kelima-lima negara.

"Yang kedua pula adalah pembukaan sempadan sama ada ia boleh dibuka atau tidak. Jika tidak, ia pasti menjadi satu masalah.

"Selain itu, ia juga melibatkan keadaan penerbangan setiap pasukan kerana bukan semua pasukan boleh menggunakan penerbangan persendirian, masih banyak pasukan yang menggunakan penerbangan awam," katanya.