Adakah kepercayaan kepada sekelompok tonggak bakal menyaksikan ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, mengekalkan kesebelasan sama bagi pertemuan dengan Thailand dan Indonesia dalam aksi kelayakan pusingan kedua Piala Asia 2023/Piala Dunia 2022?

Cheng Hoe tidak banyak melakukan perubahan ke atas kesebelasan utama sejak merekodkan kemenangan ke atas Indonesia dalam aksi pembukaan kempen Kumpulan G itu pada 5 September lalu.

Selepas kekalahan di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam, beliau digesa melakukan rombakan.

Bagaimanapun, pengendali berusia 51 tahun itu menegaskan dia lebih arif dengan kemampuan sebenar kelompok tonggak yang menjadi kepercayaannya.

"Kami bermain dengan begitu baik, cuma tidak mendapat kemenangan.

"Saya percaya pemain tunjang yang menjadi pilihan saya masih lagi penting dan relevan," katanya.

Senario itu bagaimanapun tidak menghalangnya daripada menguji beberapa kudrat baru untuk diserap dalam skuad utama kelak menerusi aksi pemanas badan menentang Tajikistan, Sabtu ini.

Antaranya, bintang meningkat naik Johor Darul Ta'zim (JDT) Afiq Fazail, yang dicanang bakal memperkuatkan Harimau Malaya seperti dilakukannya bersama Harimau Selatan.

"Saya perlu beri peluang kepada pemain yang dipanggil buat pertama kali.

"Saya mahu pemain yang dipanggil bersedia daripada segi kecergasan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Saya masih ada tempoh dua hari lagi untuk memantau kecergasan pemain.

"Kalau perlu buat pertukaran daripada segi kesebelasan utama selepas menentang Tajikistan, saya sedia pertimbangkannya," katanya dalam sesi latihan Wisma FAM, Petaling Jaya, hari ini.

Begitupun, ada seorang muka baru dalam kem latihan pusat yang tahu bagaimana untuk menambat hati pengendali itu.

Pemain yang disifatkan sebagai sudah masak dengan kemahuan Cheng Hoe itu adalah bakat kreatif, Kedah, Farhan Roslan.

Ketika berusia 18 tahun, dia pernah mendapat panggilan untuk menyertai kem latihan pusat bagi saingan Piala AFF 2014 di bawah asuhan Dollah Salleh.

Bagaimanapun, dia yang efektif di bahagian sayap dan tengah, akur lebih matang dalam pemburuan penampilan sulung bersama skuad senior kebangsaan.

Malah, dia antara bakat muda yang diasah Cheng Hoe sewaktu pengendali itu membimbing Kedah dari 2014 hingga 2017.

"Situasi ketika ini cukup berbeza.

"Pada 2014, saya tidak mempunyai pengalaman luas lagi tetapi saya telah menimba banyak pengalaman kerana telah bermain dalam pasukan utama bersama Kedah.

"Sukar untuk saya merebut tempat dalam skuad kebangsaan disebabkan semua pemain yang beraksi di posisi saya bagus-bagus belaka.

"Saya harap mendapat kepercayaan dan akan buat yang terbaik dalam perlawanan persahabatan.

"Cheng Hoe suka melihat pemain memberikan yang terbaik dalam latihan mahupun perlawanan ujian," katanya.