Jurulatih skuad B-19 negara, Brad Maloney, berpandangan tiga daripada lima pemain yang bakal diserap ke skuad Sukan SEA adalah watak penting menjelang kelayakan Kejohanan AFC B-19 yang akan membuka tirai esok.

Jika sebelum ini hanya nama Luqman Hakim Shamsudin yang disebut-sebut bakal memperkuat skuad Sukan SEA, senarai yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Rabu lalu turut menamakan empat lagi pemain muda.

Mereka adalah Harith Haiqal Adam Afkar, Umar Hakeem Suhar Rezwan, Mukhairi Ajmal Mahadi dan Azam Azmi Murad yang kini dalam misi penting kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Kemboja.

Lima pemain tersebut perlu mengetepikan keterujaan berada dalam skuad Sukan SEA kerana tugasan utama mereka di Kemboja adalah mempamerkan bukti bahawa kelibat mereka sememangnya layak untuk membarisi skuad Datuk Ong Kim Swee itu.

"Mereka merupakan pemain yang berkualiti dan kini telah dipanggil menyertai skuad Kim Swee. Tetapi tumpuan mereka haruslah bersama skuad B-19 terlebih dahulu dan cuba membantu pasukan layak ke Kejohanan AFC B-19 2020," kata Maloney.

Skuad itu disebut-sebut menjadi harapan tunggal untuk melihat wakil Malaysia beraksi di pentas terbaik Asia tahun depan selepas kegagalan skuad B-15 dan B-12 negara melakar kejutan tahun ini.

Mereka tiba di Phnom Penh, Kemboja semalam dan akan melewati aksi pembukaan yang menarik dengan skuad tuan rumah, Kemboja, di Stadium Olimpik esok.

"Sememangnya kami menjangkakan perlawanan sukar berdepan Kemboja. Mereka akan diperkuat penyokong di laman sendiri dan saya berharap pemain-pemain mampu menampilkan aksi terbaik."