MALAYSIA 11 BRUNEI 0

Dua pemain skuad negara melakar hatrik ketika menjadikan Brunei sebagai pasukan belasahan menerusi kemenangan 11-0 dalam perlawanan Kumpulan G, kelayakan Kejohanan AFC B-19 2020 di Stadium Nasional Olimpik, Phnom Penh, Kemboja, sebentar tadi.


Pemain remaja sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin, menyempurnakan hatriknya menerusi empat gol dalam separuh masa pertama pada minit ke-21, 22, 23 dan 41.

Terlebih dahulu, Brunei -- yang menundukkan Kepulauan Mariana Utara 4-3 dalam aksi pertama -- memaksa anak buah Brad Maloney itu untuk menanti sehingga minit ke-17 untuk memecah kebuntuan perlawanan menerusi sentuhan Muhammad Azrin Afiq Rusmini disusuli jaringan Muhammad Azam Azmi (m-31) dan Mohd Aiman Afif Md Afizul (m-39) untuk Malaysia mendahului 7-0 dalam babak pertama.

Begitupun, Aisan Aizuddin Abdullah Aiman sempat mencemaskan kubu skuad remaja negara apabila menemui ruang di sebelah kiri pintu dengan rembatan leretnya sipi melintasi pintu gol.

Sekali lagi, Malaysia, yang membuka kempen dengan kemenangan tipis 5-4 ke atas tuan rumah, mengambil sedikit masa untuk menemui jalan bagi menembusi pintu gol skuad yang dibimbing Ikhmarol Izzat Omar itu apabila terus garang mencipta empat jaringan lagi.

Gawang pihak lawan kembali digegar pada minit ke-59 dengan tampanan Harith Haiqal Adam Afkar disusuli jaringan Azam, seminit berselang.

Namun, bentesan keras ketika diapit dua pemain lawan mengundang keresahan kem negara apabila Luqman Hakim terbaring menahan kesakitan sebelum dapat menyambung aksinya sejurus sejam melewati permainan.

Penyudah berbisa pula mengangkat bakat muda dari Kedah, Aiman Afif, untuk melakar hatriknya dengan jaringan susulannya pada minit ke-85 dan 90 untuk menghantui Brunei yang masih diselubungi kekalahan buruk 0-9 kepada Thailand, kelmarin.

Malaysia, yang kekal di tangga kedua selepas Thailand terus di puncak dengan menewaskan Kepulauan Mariana Utara 21-0 hari ini, akan kembali menyambung kempen dengan bertemu skuad dengan jolokan Blue Ayuyu itu, petang Jumaat ini.

"Saya sedar ia satu keputusan yang memalukan buat kami, tiada siapa antara kami yang mahukan keputusan sebegini.

"Pemain saya sudah berhempas pulas tetapi secara teknikalnya jurang kami masih jauh berbanding Malaysia.

Pembangunan bola sepak kami perlu ditingkatkan untuk mendekati pasukan lain," kata Ikhmarol.

Sementara itu, Maloney pula berpandangan: "Ia satu keputusan yang memuaskan.

"Kami sudah menjangkakan Brunei akan bermain teratur dan tidak memberikan banyak ruang di bahagian pertahanan.

"Walaupun kami tetap mendapat keputusan yang baik tetapi mereka menyukarkan kami."