Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Brad Maloney, menunggu laporan penuh insiden kad merah ke atas Mukhairi Ajmal Mahadi ketika berdepan Kemboja yang dilabel sebagai meragukan.

Sehingga saat ini, Maloney masih menunggu laporan penuh daripada pihak penganjur berhubung insiden pada minit ke-58 itu yang meranapkan mental pemain negara ketika itu.

Pengendali itu ini tidak teragak-agak untuk membuat aduan sekiranya laporan penuh memihak Malaysia selain turut merujuk kepada video perlawanan yang memaparkan insiden di Stadium Olimpik Phnom Penh itu kelmarin.

"Saya masih menunggu laporan rasmi, mengapa dia dilayangkan kad merah? Lihat nanti," katanya.

Dalam sesi latihan penuh hari ini, Mukhairi dan seorang lagi pemain yang turut menerima layangan kad merah, Zikri Khalili, turut bersama dengan pasukan untuk menjalani latihan seperti biasa.

Keputusan drastik daripada pengadil perlawanan, Kurbanov Charymurat, dilabel membunuh kerancakan perlawanan tersebut, yang menyaksikan Malaysia dibolosi empat kali sebelum menang 5-4.

"Ia sama seperti perlawanan lain. Kami tidak mahu dibolosi tetapi sukar mengekang lawan daripada menghasilkan gol apabila beraksi dengan sembilan pemain. Diharapkan kami akan lebih peka dalam aksi seterusnya."