T-TEAM 0 KELANTAN 2
(Kelantan juara, agregat 3-1)

Kelantan mempertahankan gelaran selaku juara Piala Presiden selepas menewaskan T-Team 2-0 (agregat 3-1) dalam aksi final kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.


"Satu kepuasan," kata jurulatih Kelantan, Hashim Mustapha, "saya mengucapkan terima kasih kepada pemain-pemain. Saya rasa semua pemain Kelantan memberikan 100 peratus dalam perlawanan ini."

T-Team terlebih dahulu mengancam kubu pelawat pada minit ke-14, bagaimanapun sepakan percuma Muhammad Safawi Rasid gagal disambung Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob.

Seminit kemudian, giliran Kelantan menguji barisan pertahanan tuan rumah menerusi tandukan ketua pasukan, Mohamad Faris Shah Mohd Rosli, yang diselamatkan penjaga gol T-Team, Mohd Asyraf Azmi.

Pasukan pelawat sekali lagi mengasak pada minit ke-23, malangnya sepakan percuma Muhammad Azwan Aripin tinggi melepasi palang gol T-Team.

Kerancakan perlawanan berterusan apabila dua percubaan The Young Titans menerusi Muhammad Naqib Najwan (m-27) dan Muhammad Mohd Fauzi (m-29) gagal menemui sasaran.

Penyerang Kelantan, Muhammad Danial Ashraf, memperoleh peluang terbaik pada minit ke-30, begitupun rembatannya gagal menerjah jaring sebelum sepakan percuma Muhammad Azwan ditepis keluar pada minit ke-39.

Pelawat akhirnya mendahului pada minit ke-40 selepas Muhamad Raihan Mohd Huzaizi memanfaatkan kesilapan penjaga gol T-Team yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

T-Team menggandakan asakan pada separuh masa kedua dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-62, namun Engku Muhammad gagal membuat penyudah dari sepakan percuma Safawi.

Serangan bertali arus tuan rumah akhirnya memerangkap mereka selepas Muhammad Danial cemerlang menyudahkan serangan balas Kelantan pada minit ke-81 untuk gol kedua Kelantan, sekali gus mengecewakan hasrat T-Team untuk muncul juara buat kali pertama.

Dalam perlawanan akhir pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Selasa lalu, kedua-dua pasukan terikat 1-1.