Kelab-kelab utama Brazil berhasrat untuk menawarkan pemain mereka ke kelab Chapecoense secara percuma selepas majoriti pemain kelab itu terkorban dalam nahas kapal terbang.

Tragedi yang mengorbankan 71 mangsa itu adalah dari kalangan anggota dan kakitangan skuad itu selain wartawan yang dalam perjalanan untuk menghadapi pusingan pertama perlawanan akhir Copa Sudamericana menentang Atletico Nacional.

Kelab seperti Corinthians, Santos dan juara Brazil yang baru ditabalkan, Palmeiras, mengeluarkan kenyataan solidariti di mana mereka bersedia menawarkan pemain kepada Chapecoense dan menuntut kelab itu dikecualikan daripada penyingkiran selama tiga musim.

"Kami sedar kejadian ini tidak boleh diperbaiki. Kelab-kelab sedar ini adalah detik untuk bersatu, menyokong dan membantu Chapecoense," menurut kenyataan itu.

"Sehubungan itu, kelab-kelab mengumumkan bentuk solidariti terhadap Chapecoense dengan menawarkan langkah-langkah berikut:

"(I) Pinjaman percuma pemain untuk musim 2017;

"(II) Satu permintaan rasmi kepada Konfederasi Bola Sepak Brazil untuk Chapecoense agar tidak tersingkir ke Serie B dalam liga Brazil untuk tempoh tiga tahun. Andai Chapecoense menamatkan liga di kedudukan empat tercorot, maka pasukan ke-16 akan tersingkir.

"Ini adalah bentuk solidariti minimum setakat ini, namun ia adalah objektif yang paling ikhlas untuk membina semula institusi ini yang telah hilang dalam bola sepak Brazil."