PAHANG 1 TERENGGANU 0

Kejayaan skuad Pahang merangkul kejuaraan berganda
-- Piala Emas Raja-Raja dan Piala Agong​ -- buat kali pertama musim ini menjadi hadiah bermakna sempena Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, Rabu ini.

Pengendalinya, Hamzah Mat Yunus, berkata kemenangan itu juga ditujukan khas buat Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, dan seluruh rakyat jelata yang banyak memberi sokongan kepada pembangunan bola sepak negeri Pahang.

"Alhamdulillah kami berjaya membawa pulang Piala Emas Raja-Raja dan Piala Agong, dua piala ini adalah hadiah istimewa untuk Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah.

"Saya berterima kasih kepada barisan pengurusan dan pemain yang memberi komitmen tinggi bagi mencapai sasaran untuk muncul juara berganda buat kali pertama.

"Saya berharap kecemerlangan ini dapat dikekalkan pada tahun akan datang bagi mengharumkan nama negeri Pahang," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, malam tadi.

Dalam perlawanan itu, Pahang mencatat kemenangan 1-0 ke atas Terengganu dengan jaringan dihasilkan oleh Muhd Hafizi Abd Halim pada minit ketujuh.

Kemenangan itu membolehkan Pahang membawa pulang hadiah wang tunai RM60,000 manakala Terengganu sebagai naib juara menerima habuan RM40,000 sementara pemain pertahanan Pahang, Mohd Hashim Hisyamudin, yang muncul pemain terbaik pula menerima wang tunai RM1,000.

Hamzah berkata pujian harus diberikan kepada anak buahnya kerana berdisiplin dalam mengikut perancangan ditetapkan sejak mula hingga akhir waktu permainan.

"Saya ramal Pahang menang 3-1 tetapi ia tidak menjadi kenyataan...namun saya gembira kerana pemain beraksi secara menyerang dan ia menjadi apabila kami memperoleh satu gol.

"Lebih membanggakan, walaupun seorang pemain kami dikenakan kad merah pada 20 minit akhir perlawanan, kami berjaya bertahan dan mengekalkan keputusan sehingga tamat waktu permainan," katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Terengganu, Roshadi Wahab, berkata sesetengah pemain yang lambat menyesuaikan diri dalam perlawanan akhir itu menjadi faktor pasukannya mempamerkan aksi kurang kemas.

"Ada pemain yang tidak pernah beraksi di pentas final dan ini menyebabkan mereka sedikit gugup sehingga mengganggu rentak permainan.

"Dalam separuh masa kedua, pasukan kami bangkit dengan melakukan usaha terbaik, namun tiada rezeki kami untuk merangkul kejuaraan kali ini," katanya.

-- BERNAMA