"Usah bergantung dengan pasukan lain." Demikian tegas jurulatih skuad B-18 negara, Brad Maloney, menjelang pertemuan Kumpulan B dengan Australia yang menuntut Malaysia melakar kejutan demi kelangsungan skuad negara dalam Kejohanan AFF B-18.

Aksi di Stadium Thanh Long, petang ini, umpama pertemuan hidup mati.

Ketika Australia diangkat sebagai pilihan utama untuk muncul juara, Malaysia pula berhadapan misi sukar untuk menundukkan mereka.

Menerusi situasi yang turut bergantung kepada aksi Thailand dan Vietnam, jurulatih kelahiran Australia itu tidak rela pemainnya mengharapkan Thailand untuk mengatasi Vietnam sehingga terlupa tanggungjawab utama mereka adalah untuk mempamerkan aksi berkesan.

"Australia memiliki kualiti menyeluruh, bukan mudah untuk menyaingi pasukan seperti itu.

"Namun, kami akan mengekalkan falsafah permainan dan berharap mendominasi sedikit perlawanan dan memanfaatkan peluang dalam detik tertentu untuk merakam keputusan positif," katanya.

Tegas Maloney, dia tidak mahu menjdi terlalu sentimental apabila berhadapan dengan pasukan negara kelahiran sendirinya itu tatkala kecemerlangan skuad negara adalah segala-galanya buatnya.

"Pemain Australia kesemuanya dilahirkan pada 2001, oleh itu mereka adalah pasukan paling berusia dalam kejohanan ini.

"Tonggak mereka bermain untuk pasukan Liga-A selain ada beberapa pemain yang beraksi di luar negara.

"Sudah tentu mereka berkualiti tinggi tetapi kalau kami kekalkan pelan dan bermain dengan kekuatan sendiri, saya pasti kami boleh kekal kompetitif," katanya lagi.