Pengurus pasukan B-18 negara, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar, melihat masa depan bola sepak negara sedang berubah dengan melabelkan skuad itu sebagai pelopor utama untuk kebangkitan Malaysia di pentas Asia.

Kualiti yang dimiliki pemain negara dalam pasukan itu begitu luar biasa.

Sungguhpun mereka masih belum mengesahkan slot untuk ke separuh akhir, namun ramai yang berpendapat skuad kendalian Brad Maloney itu sedang meniti laluan mudah.

Tinggal beberapa jam dari sekarang, kelibat anak buah jurulatih kelahiran Australia itu sekali lagi akan menjadi tumpuan dan memilih Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, sebagai saksi Malaysia tidak lagi berada di takuk lama.

Kelebihan utama yang dapat dilihat adalah sikap tidak mudah mengalah barisan pemain walaupun mereka gagal mengorak langkah kanan ketika aksi pembukaan bertemu tuan rumah minggu lalu.

"Pemain boleh membuktikan kepada semua peminat di Malaysia bahawa mereka adalah DNA yang terbaik untuk skuad negara pada suatu hari nanti.

"Saya tidak mahu mengulas mengenai siapakah yang bertanggungjawab dalam kejayaan ini, apapun mereka bermain demi Malaysia," kata Kamarul Ariffin.

Ketika ini, Malaysia tidak hanya bermimpi untuk mencuri slot ke separuh akhir, malah mempunyai rentak terbaik untuk muncul juara Kumpulan B, sekali gus mengelak daripada bertemu seteru utama, Indonesia, dalam separuh akhir.

"Saya memuji sepenuhnya semangat juang pemain dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas doa mereka untuk mengiringi kejayaan hari ini," katanya lagi.