INDONESIA 5 MYANMAR 0

Selepas dikecewakan Malaysia dalam separuh akhir kelmarin, Indonesia menebus duka itu untuk meraih tempat ketiga Kejohanan AFF B-18 di Stadium Thong Nhat, Bandaraya Ho Chi Minh dengan berpesta gol 5-0 ke atas Myanmar sebentar tadi.


Skuad Garuda itu tewas 3-4 kepada Malaysia dalam perlawanan yang berlanjutan hingga ke masa tambahan kelmarin, namun bangkit dengan penuh bergaya untuk menutup aib di kala sambutan hari kemerdekaan mereka itu dengan kemenangan besar ke atas Myanmar.

Hatrik daripada Mochamad Supriadi dan jaringan berganda Beckham Putra dalam separuh masa pertama sudah cukup untuk menjamin kedudukan Indonesia dengan tiada sebarang pertambahan gol daripada kedua-dua pasukan dalam babak berikutnya.

Beckham membuka jaringan pada minit ke-36 menerusi gerakan solo menariknya, yang menewaskan penjaga gol Myanmar, Nay Lhin Htet.

Dua minit kemudian, giliran Supriadi merampas pesona itu dengan menghasilkan jaringan berganda pada minit ke-38 dan 40.

Menerusi satu hantaran jauh daripada barisan pertahanan, Supriadi memanfaatkan sentuhan minimum Sutan Zico untuk mengawal bola ke kawasan penalti sebelum melepaskan ledakan yang membuatkan sebilangan kecil Ultras Garuda di tempat duduk penonton melompat keriangan.

Dia kemudian melakukan lambungan menyilang dari sebelah kanan kotak penalti lawan untuk meletakkan skuad Merah Putih itu selesa dengan kelebihan tiga gol.

Kealpaan barisan pertahanan Myanmar terus dihukum Indonesia dan sinonim dengan nombor 7 yang dipakainya, Beckham melepaskan rembatan lencong dari luar kotak penalti untuk sekali lagi tersenarai selaku penjaring pada minit ke-45.

Ketika pengadil, Souei Vongkham, sedang berkira-kira untuk meniupkan wisel separuh masa, Supriadi sempat menjadikan kedudukan 5-0 menerusi jaringan kaki kirinya dalam masa kecederaan.