Pengumuman 26 pemain ke kem latihan persiapan Kejohanan AFC B-23 di Mokpo, Korea Selatan hujung minggu ini, menyaksikan lima tonggak skuad B-19 berjaya menambat hati ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.

Penyerang Kedah, Akhyar Rashid, bukan lagi nama asing dalam skuad Kim Swee susulan penampilannya dalam kempen Sukan SEA 2017 dan kelayakan Kejohanan AFC itu.

Baki empat lagi pemain B-19 adalah Hadi Fayyadh Abdul Razak, Nik Akif Syahiran Nik Mat, K. Thivandran dan A. Shivan Pillay.

Akhyar, Hadi dan Akif menjadi aset dalam membentuk barisan serangan di samping tonggak seperti Safawi Rasid dan N. Thanabalan.

Pilihan akhir ini mencerminkan kemahuan Kim Swee untuk menerapkan strategi berbeza dalam aksi pusingan akhir Kejohanan AFC di China bulan depan.

"Itu yang kami rancangkan. Dalam pusingan akhir nanti, kami perlu mempunyai satu atau dua sistem yang berkesan.

"Pemain harus faham apabila kami menukar taktikal, kami harus bersaing dengan lebih baik ketika berdepan Jordan, Iraq ataupun Arab Saudi," katanya di Shah Alam, semalam.

Kem latihan di Mokpo itu akan disusuli aksi persahabatan apabila sedang merancang untuk menguji skuad B-23 Australia. Sama ada pertemuan menentang skuad remaja Australia itu menjadi atau tidak, Kim Swee menerima jaminan bahawa anak-anak buahnya akan memperoleh persiapan kompetitif sebelum sepak mula Kejohanan AFC.

"Kami masih menunggu siapa lawan kami (di Mokpo) dan yang penting, kami mempunyai perlawanan, tidak kira sama ada pasukan negara yang layak ke Kejohanan AFC ataupun skuad Liga Super China. Itu memadai dan tidak semestinya kami perlu bertemu pasukan dari Timur Tengah," ujarnya.