Istilah 'tidak mustahil' mengulangi kejayaan skuad B-19 negara dalam Kejohanan AFF B-19, Julai lalu, menjadi azimat pemain tengah B-19 negara, Nik Akif Syahiran Nik Mat, untuk menghadapi Kejohanan AFC B-19 di Indonesia, bulan ini.

Nik Akif enggan skuad negara terikat dengan situasi realistik, sebaliknya menganggap peluang mencipta kejutan adalah terbuka kepada setiap pasukan.

Lantaran itu, dia mahu mencetak kejayaan kedua tahun ini sebagai petanda bahawa mereka sedang mencari jalan untuk keluar daripada kepompong realistik yang sering ditekankan.

Benar, istilah realistik perlu difahami terlebih dahulu, namun Nik Akif tidak mahu hal itu menjadi halangan utama mereka yang dibimbing Bojan Hodak.

"Tiada apa yang mustahil tetapi kami perlu bekerja lebih keras lagi untuk lagi layak ke Piala Dunia B-20.

"Kami perlu fokus dalam setiap perlawanan dan mempamerkan aksi teratur untuk layak," katanya.

Cabaran Malaysia dalam saingan peringkat kumpulan tidak kurang hebatnya apabila dijadualkan bertemu Arab Saudi, China, Australia dan Tajikistan dalam memburu dua slot ke suku akhir.

Pasukan yang layak menempatkan diri dalam kedudukan empat terbaik saingan layak secara automatik ke Piala Dunia B-20 di Poland, tahun depan.

"Keserasian kami semakin mantap, kami sudah serasi dengan corak permainan masing-masing," katanya.