Kejohanan AFC B-19: Hodak akui Malaysia masih ketinggalan

Oleh Penulis Jemputan 20 Oktober 2018 1638
Kejohanan AFC B-19: Hodak akui Malaysia masih ketinggalan
Keputusan yang mengecewakan tetapi perlu ditelan skuad B-19 negara, Bojan Hodak mengakui kualiti teknikal skuad bimbingannya masih ketinggalan bagi bersaing dalam peringkat Asia selepas tewas 1-2 kepada Arab Saudi dalam aksi pembukaan Kumpulan D Kejohanan AFC B-19 Tahun 2018 di Bekasi, Indonesia.

Positif dalam 20 minit pertama, kelemahan pemain muda negara akhirnya terpancar sebaik lawan memperoleh gol sulung empat minit kemudian menerusi Turki Al-Ammar yang menghukum kelalaian pertahanan.

Selain satu gol dihasilkan Salem Al-Saleem pada minit ke-78, skuad negara boleh menarik nafas lega kerana tidak tewas dengan angka jaringan besar ekoran Arab Saudi banyak mempersia-siakan peluang terhidang.

Walaupun Hadi Fayyadh membangkitkan semangat yang tersisa dua minit sebelum perlawanan berakhir, ia tidak mampu menutup masalah besar dihadapi anak buah Hodak yang masih di takuk Asia Tenggara.

"Bersaing dalam kejohanan bertaraf Asia Tenggara, kami tidak menghadapi masalah, tetapi dalam saingan ini, Malaysia perlu berdepan barisan pasukan bertaraf dunia dan kemahiran teknikal kami masih belum mencapai tahap yang dikehendaki," kata Hodak.

Mengenai kecergasan Akhyar Rashid yang hanya masuk sebagai pemain gantian, Hodak menjelaskan pemain itu tidak mampu bermain selama 90 minit dan dia perlu melakukan keputusan sedemikian serta aksi-aksi selepas ini.

"Buat masa ini, Akhyar tidak dapat diturunkan selama 90 minit kerana belum berada pada tahap terbaik," katanya lagi.

"Saya beraksi dalam separuh masa kedua. Saya tidak berpuas hati dengan persembahan kerana masih belum cergas," ujar Akhyar.

"Malaysia perlu mengelak daripada kesilapan dan tidak mengikut rentak permainan lawan," kata penjaga gol negara, Azri Ghani.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen