Kejohanan AFC B-19: Hodak akui Malaysia bukan pasukan pilihan

Oleh Bernama 19 Oktober 2018 1408
Kejohanan AFC B-19: Hodak akui Malaysia bukan pasukan pilihan
Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, mengakui pasukannya bukan pilihan dalam Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-19, namun mereka bertekad akan menampilkan aksi terbaik dalam saingan itu, bermula esok.

Beliau berkata Arab Saudi, China dan Tajikistan yang diundi dalam Kumpulan D bersama-sama Malaysia merupakan pasukan yang hebat dan anak buahnya perlu bekerja keras bagi mengekang kemaraan mereka.

“Saya optimis Malaysia mampu pergi jauh dalam kejohanan ini,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Malaysia akan memulakan kempen berdepan Arab Saudi esok, diikuti bertemu Tajikistan, Selasa depan (23 Oktober).

Kedua-dua perlawanan berkenaan akan berlangsung di Stadium Patriot Chandrabhaga di Bekasi.

Skuad muda negara akan melengkapkan aksi peringkat kumpulan menentang China di Stadium ​​​​​​​Pakansari, Bogor pada 26 Oktober.

Ditanya mengenai beberapa pemain mengalami kecederaan menjelang kejohanan berkenaan, Hodak berkata kebanyakan mereka sudah pulih dan bersedia memberi cabaran dalam saingan tersebut.

Mengikut format kejohanan, sekiranya Malaysia berada dalam kedudukan dua teratas aksi peringkat kumpulan, skuad muda negara akan berdepan juara atau naib juara Kumpulan C yang terdiri daripada Australia, Korea Selatan, Vietnam dan Jordan di peringkat suku akhir di Stadium Patriot Chandrabhaga pada 29 Oktober.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen