Empat pemain digugurkan oleh jurulatih skuad B-19, Bojan Hodak, apabila hanya 24 pemain yang akan ke Qatar, termasuk Akhyar Rashid yang masih dalam proses pemulihan, sebagai persediaan menghadapi Kejohanan AFC B-19 di Indonesia bulan ini.

Pemain yang dimaksudkan merupakan dua tonggak dari Selangor, Muhammad Fawzal Abdul Mutalib dan Sharul Nazeem Zulpakar, Awang Faiz Hazziq Awang Fathi (Johor Darul Ta'zim) dan Zafuan Azeman (Kedah).

"Saya membuat rombakan membabitkan beberapa pemain, saya mahu mencuba khidmat beberapa tonggak di Qatar selepas mereka mempamerkan prestasi memuaskan dalam latihan.

"Selepas pulang dari Qatar, kami akan menghadapi dua lagi perlawanan ujian sebelum saya memuktamadkan skuad akhir," kata pengendali dari Croatia itu.

Begitupun, Akhyar yang masih belum memulakan sesi latihan penuh berjaya mencuri tempat daripada 24 slot yang ditetapkan.

"Akhyar semakin pulih.

"Dia menjalani latihan, sesi kemahiran dan pecutan secara bersendirian pagi ini.

"Dia sedang giat menjalani program di bawah jurulatih kecergasan, dia akan bersedia beraksi di Qatar," tambahnya.

Sekalipun keempat-empat pemain itu tiada dalam perancangan Hodak untuk aksi ujian di Qatar, kelibat mereka masih dikekalkan dalam kem dan akan kembali menjalani latihan bersama pasukan sebaik 24 pemain pilihan pulang dari Qatar nanti.

Sebagai persediaan akhir sebelum ke Qatar, Hodak sempat membentuk skuad sempurna sebaik Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Zahril Azri Zabri melaporkan diri hari ini.