Pemain tengah RB Leipzig, Naby Keita, dibuang padang buat kali kedua dalam tiga penampilan bersama kelab dan negara ketika Guinea tewas 4-1 kepada Tunisia dalam aksi kelayakan Piala Dunia, semalam.

Keita, yang bakal menyertai Liverpool dengan nilai perpindahan yang mencecah GBP48 juta (RM266 juta) pada 2018, membuka jaringan untuk pasukan yang telah tersingkir itu di Conakry.

Tetapi, selepas Youssef Msakni meledak dua gol untuk Tunisia sebelum Mohamed Amine Ben Amor memastikan tiga mata dengan jaringannya, Keita dibuang padang pada masa kecederaan.

Pemain tengah itu sedang melancarkan serangan untuk pasukannya, namun melakukan kekasaran ke atas Ben Amor.

Pengadil perlawanan, Janny Sikazwe dari Zambia melayangkan kad merah dan Tunisia berjaya menambah satu lagi jaringan, dengan Msakni melengkapkan hatriknya dan semakin hampir untuk layak ke Russia.

Keita telah dibuang padang sekali pada musim ini, apabila pemain tengah itu dilayangkan kad merah ketika melakukan terjahan ke arah pemain Borussia Monchengladbach, Christoph Kramer, dalam perlawanan yang berkesudahan seri 2-2, bulan lalu.