Keita Balde Diao memberi mesej sebagai tanda penghormatan buat saudaranya, Kalidou Koulibaly, susulan kemenangan 1-0 ke atas Empoli.

Inter meraih kemenangan di tempat lawan tanpa penyokong sendiri selepas Empoli menolak untuk menjual tiket kepada mereka sebagai tanda bantahan terhadap isu perkauman yang dilalui benteng Napoli, Koulibaly, di San Siro, Rabu lalu.

Skuad Nerazzuri itu akan beraksi dalam dua aksi di laman sendiri dalam keadaan tertutup tatkala penyokong mereka dihukum ekoran ejekan terhadap Koulibaly.

Jaringan kemenangan daripada Keita membolehkan Inter berada di tempat ketiga liga menuju aksi tahun baru dengan kelebihan sembilan mata berbanding AS Roma yang menduduki tangga kelima tatkala skuad bimbingan Luciano Spalletti itu menyasarkan kedudukan empat terbaik untuk tahun kedua berturut-turut.

Keita memberitahu Sky Sport Italia: "Ia adalah kemenangan penting buat kami. Kami mahu mendapatkannya tidak kira apa cara sekalipun sebelum rehat. Kami sentiasa meletakkan sasaran tinggi, tidak kira bagaimana corak permainan yang dipamerkan dan saya berbangga menyarung jersi ini.

"Koulibaly? Dia adalah saudara saya dan kami bermain bersama dalam skuad kebangsaan. Apa yang berlaku Rabu lalu tidak seharusnya terjadi kerana bola sepak adalah harapan. Kami harus bersatu untuk meraih kehidupan lebih baik."

Spalletti menambah: "Jika anda tidak menghadapi perlawanan dengan pemikiran yang betul, lawan akan menjadi bahaya.

"Pada permulaan, kami tidak begitu baik tetapi dalam babak kedua, ia menjadi lebih bagus. Mereka banyak berlari, jadi kami mengawal perlawanan dan ia satu kemenangan berharga."

"Jika seseorang pemain itu tidak dikesan, sentiasa ada nama lain yang mampu menjelmakan kekuatan sama. Jika anda dapat mencetuskan pilihan serta apa yang terbaik buat mereka, anda akan meraih mata.

"Saya melihat Keita sebagai pemain berbeza berbanding ketika dia mewakili Lazio," katanya lagi.