Bekas pemain tengah Real Madrid, Michael Essien, menganggap kehadiran Arthur telah membantu Barcelona menyesuaikan diri beraksi tanpa Andres Iniesta menjelang El Clasico pertama musim ini.

Pemain kebangsaan Brazil itu bergandingan dengan Ivan Rakitic dan Sergio Busquets di bahagian tengah serta memiliki gaya permainan yang mirip dengan Xavi.

Bekas pemain Gremio itu dijangka turun berdepan Real Madrid di Nou Camp, Ahad ini, dan Essien berasakan Arthur adalah pilihan terbaik untuk menggantikan bekas kapten, Iniesta, yang menyertai kelab Jepun, Vissel Kobe selepas tamat musim lalu.

"Mereka mendapatkan khidmat pemain muda Brazil yang berbakat," kata Essien.

"Barca juga masih lagi menagih khidmat pemain berpengalaman seperti Rakitic dan Busquets.

"Anda tidak berasakan kehilangan Iniesta dalam pasukan dengan kehadiran Arthur."

Ketika Barca mengungguli LaLiga, Real bergelut untuk bersaing tanpa kelibat Cristiano Ronaldo yang berhijrah ke Juventus, dengan Julen Lopetegui dilaporkan semakin hampir dipecat.

Keputusan 2-1 mengatasi Viktoria Plzen telah menamatkan rentetan lima perlawanan tanpa kemenangan dalam semula kejohanan buat Real dan Essien berasakan bekas kelabnya itu mampu mencipta kemenangan ketika berdepan Barca di Nou Camp.

"Mengapa tidak? Mereka masih dibarisi pemain-pemain berkualiti. Real adalah sebuah kelab terbesar dunia."